mutakhir

Korban terbanyak untuk rekod MBR

Oleh Ibrahim Isa

PROGRAM Asnaf Mampu Korban berlangsung di padang Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bharu, Ahad ini bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai penyembelihan korban terbanyak pernah dilakukan.

Program anjuran bersama Aliyah Rizq Farm dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Lestari Perling (PKLP) dan Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Perling (PPKP) akan menyembelih 250 kambing bermula 9 pagi hingga selepas Zuhur.

Pengerusi penganjur, Ashraf Bakar berkata, program mendapat tajaan individu, pihak swasta dan kerajaan serta ahli politik yang menyumbang 110 ekor daripada jumlah kambing itu untuk asnaf.

“Semua golongan asnaf dalam Parlimen Pulai dipilih PKLP dan PPKP, yang mana mereka akan mengangkat akad bayaran RM1 sahaja, manakala selebihnya dibayar penyumbang.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan untuk kali pertama, kami sebenarnya menerima permintaan menggalakkan tetap terpaksa tetapkan had maksimum 250 kambing sahaja.

“Selain itu, hampir 50 peratus daripada 140 kambing dikorbankan oleh rakyat Singapura, manakala bakinya rakyat tempatan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ashraf berkata, peserta hanya perlu membayar RM900 untuk menyertai korban, manakala penyumbang dikenakan RM1,300 dikenakan termasuk kos lain.

Katanya, 12 tukang sembelih akan melakukan upacara korban serentak, selepas Solat Sunat Aidiladha, manakala 150 kambing yang dilapah akan diagihkan ke semua surau dan masjid dalam Parlimen Pulai untuk diserahkan kepada qariah masing-masing.

“Sementara 15 ekor untuk dimasak dan dibawa pulang peserta korban. Kami yakin program tercatat dalam MBR dan mempelawa orang ramai hadir memeriahkan majlis,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 5:43pm
d