mutakhir

Paras air kritikal, BKSA bertindak

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

BADAN Kawal Selia Air (BKSA) Melaka giat melaksanakan Pelan Tindakan Musim Kemarau bagi bulan ini berikutan paras air bagi tiga empangan di negeri itu direkodkan agak kritikal pada 1 Ogos lalu.

Tiga empangan berkenaan membabitkan Empangan Durian Tunggal kini berada pada paras 50.6 peratus, Empangan Jus (56.3 peratus) dan Empangan Asahan (63.9 peratus).

Pengarah BKSA negeri Faizah Abdul Rahman Sulaiman berkata, pihaknya mengambil langkah pengepaman maksimum 160 juta liter dari Sungai Muar, Johor melalui Rumah Pam Grisek bagi memastikan bekalan air di empangan terbabit mencukupi ketika ini.

Menurutnya, proses pengepaman air mentah dari Sungai Melaka ke Empangan Durian Tunggal turut dilakukan melalui tangki penyimpanan I dan II.

“Kita turut menjalankan langkah ‘reverse transfer’ Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal melalui stesen pemindahan pam (TPS) selain mengaktifkan kolam alternatif di Tasik Ayer Keroh, Kolam Kesang 1, Kolam Kesang 2 dan Tasik Biru.

“Langkah lain kerajaan negeri lakukan adalah dengan mendapatkan air terawat yang dibeli daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, Faizah ketika dihubungi berkata, pihaknya enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai paras sebenar empangan yang dipercayai kritikal ketika ini.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 6:48pm
d