mutakhir

Pelancong berkayak hilang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

DUA pelancong Singapura hilang ketika berkayak dengan sekumpulan 15 rakan di perairan Mersing, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, makluman awal kehilangan membabitkan lelaki dan wanita dikenali Tan Eng Soon, 62, serta Puah Geok Tin, 57.

Katanya, pihaknya menerima laporan kehilangan itu pada 10.30 pagi daripada seorang rakan mangsa melakukan aktiviti itu.

“Mereka dilapor mula berkayak di Jeti Penyabong Mersing dan ketika tiba di tempat kejadian iaitu antara Pulau Sri Buat Pahang ke Pulau Mertang pada 5.40 petang, satu kayak dinaiki kedua-dua mangsa hilang.

“Kayak itu hilang selepas terpisah daripada kumpulan akibat laut bergelora dan angin kuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nor berkata, usaha mencari dilakukan kumpulan berkenaan namun gagal menemui mereka sebelum melaporkan kejadian di Balai Polis Rompin pada 10.30 pagi hari ini.

“Sehingga kini, kes diklasifikasi sebagai orang hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan empat anggota Balai Polis Endau, sebuah bot PAR 6 bersama empat anggota Pasukan Polis Marin (PPM) selain empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Turut sama, 11 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Endau dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mengeluarkan aset bot kilat dan sepasukan anggota,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 7:15pm
d