mutakhir

161 panggilan pokok tumbang di Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis menerima 161 panggilan kecemasan yang membabitkan kejadian pokok tumbang di negeri itu berikutan ribut dan hujan lebat malam tadi.

Timbalan Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar (PA) Mohd Farid Ishak berkata, sebanyak 74 panggilan diterima menerusi talian kecemasan 999, manakala selebihnya adalah panggilan secara terus ke bilik operasi pihaknya sehingga 9.45 malam tadi.

“Setakat ini, kita terima semua panggilan itu sebagai kes yang berlainan memandangkan pihak APM kini sedang memfokuskan kerja operasi pemulihan di lokasi.

“Sehingga 9.45 malam tadi, sembilan kawasan dilaporkan terjejas teruk seperti di Jalan Ngulang, Repoh, Simpang Empat Dato’ Kayaman, Jalan Santan menghala ke Balai Baru berdekatan sebuah kilang membuat peralatan kesihatan, Jalan Padang Benta, Sungai Berembang dan sekitar Kompleks Perniagaan Chin Hin, Arau.

“Di sekitar bandar Kangar pula, antara kawasan yang terjejas adalah di hadapan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra dan Jalan Santan,” katanya.

Menurut Mohd Farid, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan yang melaporkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal dihempap pokok tumbang.

“Bagaimanapun, saya difahamkan mangsa kini sedang menerima rawatan di HTF dan status mangsa masih belum dikenal pasti.

“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 2:51am
d