mutakhir

'Mereka bukan penduduk kampung ini'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KUANTAN: “Mereka berdua bukan penduduk kampung ini dan tidak mewakili kami. Tindakan dilakukan lebih bermotifkan politik dan sengaja untuk menakutkan orang ramai,” kata Ketua Kampung Balok, Mansor Mokhtar.

Beliau berkata, demikian ketika menyangkal kenyataan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack pada 31 Mei lalu kononnya orang Pahang khusus di daerah ini tidak mahu Lynas (Malaysia) Sdn Bhd beroperasi di negeri ini kerana sisa yang dihasilkan boleh menjejaskan kesihatan.

Dakwanya, Wong Tack tidak pernah berjumpa dengannya atau penduduk kampung bagi membincangkan hal itu.

Berikutan itu dakwanya bekas Pengerusi Kumpulan Hijau itu tidak mewakili suara penduduk yang tinggal paling hampir dengan kilang Lynas.

“Jadi beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan sewenangnya seperti mewakili penduduk, sedangkan tiada perjumpaan diadakan dengan kami,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Beserah di sini, semalam.

Mansor memaklumkan seorang lagi individu sebelum ini dikenali sebagai Tan Bun Teet membuat laporan polis 19 Jun lalu kononnya mewakili penduduk kampung Balok dan daerah ini atas pencemaran air yang berlaku disebabkan Lynas.

“Tindakan itu dibuat tanpa persetujuan penduduk kampung, sekali gus memberi gambaran beliau mendapat sokongan kami,” katanya.

Dia memberitahu pihaknya mempercayai kajian dilaksanakan pakar dan keputusan itu sudah diketahui Lynas beroperasi secara selamat serta tidak membahayakan orang ramai.

‘Tunggu 15 Ogos ini’

KUANTAN: “Tunggu 15 Ogos ini, selepas itu kita akan komen.

“Selagi tiada black and white (hitam putih) kita tidak boleh beri kenyataan,” kata Pengarah Urusan dan Naib Presiden Lynas (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Mashal Ahmad ketika dihubungi Harian Metro, semalam, bagi mendapatkan penjelasan berhubung desas-desus lima tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) baru bagi memindahkan sisa buangan Water Leached Purification (WLP) yang sudah dikenal pasti.

Beliau berkata, ura-ura itu bukan datang secara rasmi daripada Kerajaan Persekutuan dan pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang komen.

Sebaliknya beliau memaklumkan pengumuman Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin Khamis depan lebih penting.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 5:50am
d