mutakhir

10 cedera, 87 kes pokok tumbang

Oleh Hamzah Osman dan Zuliaty Zulkiffli

SEKURANG-KURANGNYA 10 individu cedera dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda Kedah, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang cedera sudah diberikan rawatan awal oleh anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, selain itu, pihaknya menerima 87 kes membabitkan pokok tumbang di negeri itu, dari jam 8 malam tadi.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) masih menerima panggilan berkaitan pokok tumbang, namun begitu, keadaan masih terkawal,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, antara kawasan terbabit adalah Zon 1 (Kota Setar), Zon 2 (Sungai Petani), Zon 3 (Kawasan Baling) dan Zon 4 (Langkawi).

DI LANGKAWI, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, penduduk terjejas diminta membuat laporan polis bagi memudahkan urusan tuntutan.

Beliau berkata, tinjauan mendapati kejadian itu menyebabkan sejumlah rumah dan kenderaan penduduk rosak ditimpa pokok tumbang.

“Sejurus menerima laporan kejadian itu, saya sudah mengarahkan pegawai dari pejabat ADUN Kuah segera ke lokasi bagi memberi bantuan awal.

“Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut diminta memastikan semua mangsa membuat laporan polis bagi memudahkan tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, sehingga jam 7.30 pagi, sebanyak 29 buah rumah di pulau itu, dilaporkan mengalami kerosakan

“Jumlah itu dijangka meningkat apabila lebih ramai mangsa ribut tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi penyelamat yang bertungkus-lumus membantu mangsa yang berhadapan ujian menjelang Aidiladha esok,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 10:14am
d