mutakhir

Lemas lepas keluar memancing

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI ditemui lemas dalam sungai dekat Kampung Sri Makmur, Tangkak, malam tadi.

Sebelum kejadian, mangsa, Mohamad Rizal Abdullah, 29, dikatakan memancing di tepi sungai sebelum tidak pulang ke rumah kira-kira 7 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.45 malam berhubung penemuan mayat lelaki itu.

“Siasatan awal berdasarkan maklumat yang diterima daripada bapa mangsa dan rekod perubatan yang diperoleh daripada Hospital Tangkak, mangsa menghidap penyakit sawan.

“Melalui siasatan dan maklumat awal polis yang berada di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Seniman Idris berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.49 malam sebelum enam anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Selepas ditemukan, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.36 malam,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 10:22am
d