mutakhir

Cuti berganda punca kesesakan teruk

Oleh Mahaizura Abd Malik

CUTI berganda sesi persekolahan dan Aidiladha menyebabkan peningkatan aliran trafik luar biasa berlaku dari ibu kota menghala lebuh raya utama seluruh negara.

Biarpun kebanyakan warga kota memulakan perjalanan seawal mungkin sejak semalam, namun mereka tidak terlepas daripada menempuh kesesakan luar biasa.

Pekerja swasta, Siti Sheril Aida Ibrahim,31, berkata dia tiga beradik keluar dari kediaman di Seri Kembangan sejak 5.30 pagi tadi untuk pulang bercuti di kampung halaman di Kuala Terengganu.

“Kami merancang keluar awal pagi kerana ingin elakkan kesesakan.

“Sangkaan kami meleset apabila dari Melawati lagi kesesakan sudah mula berlaku menghala ke Tol Plaza Gombak apabila kenderaan bergerak perlahan 20 kilometer sejam (km/j).

“Selalunya perjalanan kami mengambil masa antara empat hingga lima jam tetapi dengan keadaan sesak ini, kemungkinan kami akan tiba di kampung lapan jam atau sembilan jam lewat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, netizen turut berkongsi pengalaman menempuh kesesakan luar biasa kali ini.

Pemilik akaun Facebook Masni Wati Jasim berkata, dia terpaksa berpatah balik daripada meneruskan perjalanan kerana tidak sanggup menghadap kesesakan.

“Raya Adha (Aidiladha) dan cuti sekolah itu jadi jem (sesak) bertingkat-tingkat.

“Saya tadi separuh jalan pusing balik, rasa tak sanggup hadap teruk sangat (sesak).

“Tunggu esok pagi raya lah baru balik kampung,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Masni Milah Mohamad berkongsi pengalamannya lewat tiba di kampung halaman di Batu Pahat, Johor selepas menempuh kesesakan selama lima jam.

“Semalam petang aku balik 4 petang. Jam 9 malam baru sampai (padahal) Batu Pahat saja pun,” katanya.

Sementara itu, Syaiful Syazani pula berlapang dada menghadap kesesakan trafik selama lima jam demi bertemu keluarganya di kampung halaman.

“Lima jam lah cerita dia duduk dekat highway (lebuh raya). Takpa demi hendak jumpa family (keluarga) apa salahnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad Mohd Yusof Abdul Aziz berkata, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan 20 peratus kenderaan warga kota melalui Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke destinasi masing-masing.

“Sepanjang tiga hari bermula hari ini hingga Isnin, kita jangkakan 20 peratus peningkatan ketara berbanding 1.7 juta aliran trafik normal berikutan pertembungan cuti sekolah dan Aidiladha.

“Tiada larangan kenderaan berat sempena cuti ini juga salah satu faktor kesesakan ketara ini.

“Kita nasihatkan pengguna selain rancang perjalanan seawal mungkin, pastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi bagi mengelak masalah kesesakan,” katanya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengesahkan aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara sesak dan perlahan berikutan pertambahan mendadak kenderaan.

“Di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bermula dari Pasar Sentul menghala ke Greenwood terus ke Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi kenderaan sudah mula perlahan.

“Selain itu, bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak arah barat, kita sudah membuka laluan kontra (bertentangan) antara Bentong ke Lentang di KM55.5 hingga KM59.3.

“Begitu juga dengan mereka yang ke selatan, keadaan dilaporkan sesak menuju ke Seremban dan Senawang selain arah utara kenderaan mula perlahan dari Kulai ke Sedenak,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www. twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 1:24pm
d