mutakhir

Takbir raya dah jadi majlis tahlil

Oleh Ahmad Ismail

“TAKBIR raya yang kami rancang malam ini bertukar majlis tahlil untuknya,” kata Kassim Dolran, 55, mengenai kematian arwah anaknya, Mohamad Rizal Abdullah @Kassim, 29, yang ditemui lemas ketika memancing di sungai dekat Kampung Sri Makmur di Tangkak, malam tadi.

Kassim yang juga tukang rumah berkata dia merancang bersama isterinya, Saadah Yahya, 40-an, dua anak perempuan mereka berusia 19 dan 27 tahun serta arwah Mohamad Rizal untuk bertakbir bersama kariah lain di sebuah masjid di kampung itu, malam ini.

“Namun apa yang kami rancang bertukar sebaliknya kerana ia menjadi majlis tahlil untuk arwah anak kami.

“Kami reda dengan ketentuan Allah kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Sri Makmur, Tangkak, hari ini.

Menurutnya, berikutan itu dia sudah berbincang bersama kariah masjid mengadakan tahlil dan bacaan Yassin buat arwah anaknya itu selepas takbir raya malam ini.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah anaknya itu sebelum ke masjid untuk solat Jumaat 12.30 tengahari semalam.

“Arwah keluar memancing selepas Asar, namun tidak pulang ketika waktu Maghrib.

“Saya kemudian mencari arwah anak bersama tiga penduduk kampung di lokasi menjadi tempat dia memancing dengan jaraknya kira-kira enam kilometer dari kediaman.

“Mulanya kami menemui motosikal Yamaha biru ditunggangi arwah dan selipar sebelah kirinya di tebing sungai bersama sebatang joran.

“Kami kemudiannya menemui jasad arwah dalam air sebelum serta-merta menghubungi pihak polis dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Tangkak,” katanya.

Kassim berkata, sudah jadi ketentuan Ilahi, anaknya itu lemas dalam air walaupun kedalaman air sungai ketika itu hanya di paras paha lelaki dewasa sahaja selain arwah anaknya itu turut tahu berenang.

“Arwah turut mengalami penyakit sawan sejak usia belasan tahun dan menjalani rawatan berkala selain mengambil ubat di hospital.

“Arwah dipercayai mengalami kekejangan urat saraf pada kedua belah tangannya sebaik terjatuh ke dalam sungai menyebabkannya tidak mampu menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, arwah anaknya itu akan mengutamakan keluarga dahulu dan memberikan hasil ikan air tawar dipancing untuk dijadikan lauk sebelum menjualnya kepada pelanggan.

Katanya, kini keriuhan suara memuji keenakan masakan ibunya pada pagi hari raya termasuk rendang ayam, daging dan lodeh ketupat hanya tinggal kenangan.

Jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak, 10.30 pagi tadi.

Berita berkaitan

Lemas lepas keluar memancing/a>

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 4:23pm
d