mutakhir

RM180,000 pakej haji paling mahal

Oleh Yusri Abdul Malek

BAYARAN RM180,000 seorang adalah bayaran pakej paling mahal manakala RM24,590 seorang adalah pakej paling rendah sempena musim haji tahun ini.

Tawaran harga pakej adalah tinggi berbanding muasassah iaitu RM9,980.

Kos muasassah yang sebenarnya melebihi RM22,000 seorang tetapi kos itu diserap Tabung Haji (TH) melalui pemberian subsidi.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji, Mat Admara Alang Azizdin berkata, 22 syarikat membabitkan 6,140 jemaah haji beroperasi musim haji tahun ini.

Katanya, semua jemaah berkenaan sudah pun tiba di Tanah Suci dan mereka ditempatkan di hotel yang berada dekat dengan Masjidilharam.

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua perkhidmatan yang diiklan kepada jemaah dipatuhi.

"Jika ada yang ingkar, kami akan tegur," katanya pada sidang media di Abraj Al Janadriyah di Makkah.

Menurutnya, setiap syarikat hanya diberi kebenaran menguruskan pakej haji jika memiliki 50 jemaah dan lebih.

"Jemaah pakej ini juga boleh menggunakan kemudahan yang disediakan Tabung Haji (TH)," katanya.

Sementara itu, seorang jemaah pakej Felda Travel Sendirian Berhad Mohd Yusof Abdullah dari Johor Bahru berkata, dia membayar RM36,000 seorang untuk menunaikan haji tahun ini.

Dia turut ditemani isteri, Salwa Dwar dan kakaknya, Zainab Abdullah.

"Setakat ini, semua yang dijanjikan dalam risalah dipatuhi syarikat dan kami amat berpuas hati.

"Mereka akan berada selama 40 hari di Tanah Suci termasuk 12 hari di Madinah," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, makanan disajikan juga mengikut citarasa tempatan dan jarak ke Masjidilharam hanya kira-kira 250 meter.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 6:32pm
d