mutakhir

5 bot karam akibat ribut

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KEJADIAN ribut dan angin kencang, semalam menyebabkan lima bot dinaiki 20 nelayan dan pemancing karam di tengah laut.

Bagaimanapun, hanya 19 daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang nelayan masih belum ditemui setakat ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan untuk mengesan Azimat Hassan, 62, sejak dilaporkan terjatuh dari bot fiber yang dinaiki bersama anaknya, Mohd Suhaimi Azimat, 27.

Pegawai Pangkalan Hadapan Carilamat SAR, Leftenan Madya (Maritim) Hafizul Amri Arif berkata, pihaknya tidak menerima maklumat berhubung kejadian lima bot nelayan dan pemancing yang dilaporkan karam kerana mereka diselamatkan bot nelayan lain.

“Kami hanya menerima satu kes nelayan jatuh laut di Jeti Tok Arab, Jerlun dan operasi SAR sedang dilakukan.

“Sehubungan itu kita minta semua nelayan terutamanya bot kecil supaya tidak turun ke laut buat masa ini disebabkan laut bergelora dan membahayakan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui di pelantar Kuala Kerpan, di Kerpan, hari ini.

Hafizul Amri berkata, nelayan juga dinasihatkan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut untuk keselamatan mereka sekiranya terjatuh.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 9:48pm
d