mutakhir

Kenapa la tak bincang elok-elok...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PERSELISIHAN faham antara dua lelaki kerana kemalangan kecil di Kilometer KM293.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya maut.

Difahamkan, kereta mangsa yang berusia 29 tahun terbabit dalam kemalangan dengan seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Kejadian pada 1.40 tengah hari itu menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan lelaki berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian dari sebuah hospital di Nilai pada 3.40 petang dengan memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan siasatan berhubung punca kematian mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki kerana tidak berpuas hati selepas terbabit dalam kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dan isterinya berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kematian, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Siti Sarah Aisyah Saad di talian 016-406 4202,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 12:36am
d