mutakhir

Penderma darah kerap sakit jantung

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Penderma darah paling kerap di daerah ini M Yusoff Abdullah, 64, meninggal dunia ketika menjamah nasi akibat serangan jantung di rumahnya di Taman Wangi di sini, petang kelmarin.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di riba isterinya, Zawari Mohamed, 59, jam 4.50 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Kesedar Petra, Bandar Baru, 10 malam kelmarin.

Zawari berkata, sebelum kejadian dia menemani arwah yang mahu makan nasi di bawah pokok rambutan di belakang rumah.

“Saya masuk sebentar ke dalam rumah dan apabila keluar saya dapati arwah tersandar atas bangku.

“Ketika itu, arwah sesak nafas dan saya tarik tubuhnya ke riba lalu mengeluarkan nasi dari mulutnya. Tidak lama selepas itu dia menghembuskan nafas yang terakhir.

“Suami kerap ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendapatkan rawatan berikutan masalah jantung sejak lima tahun lalu,” katanya, semalam.

Menurutnya, arwah mula menderma darah sejak 1983 di Hospital Kuala Lumpur ketika bertugas sebagai tentera di bahagian kejuruteraan.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 6:00am
d