mutakhir

Aidiladha paling suram

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha tahun ini diraikan dalam keadaan suram oleh seorang penduduk Kampung Parit Tujuh Setengah Barat, Sabak Bernam, selepas rumah pusaka berusia 45 tahun milik keluarganya ranap akibat ribut, semalam.

Mengimbas semula kejadian 1.15 pagi itu, Zulkipli Sadri, 45, berkata dia sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan angin kencang di luar rumahnya.

Menurutnya, dalam sekelip mata angin kencang itu ‘mengangkat’ bumbung sehingga rumah kayu berkenaan bergoyang.

“Tanpa berlengah, saya bergegas keluar dan menyorok di bawah rumah selama 10 minit.

“Saya melihat kayu dan zink rumah ini berterbangan sehingga ke kawasan sawah di sekeliling rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Zulkipli yang masih bujang dan tinggal berseorangan di rumah itu berkata, dia kemudian masuk ke dalam kereta yang diparkir di bawah rumah sebelum keluar dari kawasan itu.

“Semasa mengundur kereta, saya lihat cuaca gelap dan pokok kelapa yang berada sekitar jalan bergoyang kuat seperti mahu tumbang.

“Saya berserah pada Allah SWT dan menunggu dalam kereta sehingga Subuh. Ketika itu juga, saya batalkan niat untuk tidur bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Katanya, dia kemudian pergi ke rumah kakaknya, Sanisah Sadri, 48, kira-kira 300 meter dari kediamannya bagi memaklumkan kejadian itu.

Zulkipli berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun terpaksa menanggung kerugian hampir RM 20,000 akibat rumah pusaka didiami rosak teruk.

“Sudah hampir 20 tahun saya menjaga rumah ini dan seumur hidup, inilah kali pertama angin kencang memusnahkan keseluruhan rumah pusaka itu,” katanya.

Terdahulu, Unit Bencana Negeri Selangor melaporkan sebanyak 508 rumah terjejas akibat bencana ribut yang melanda di daerah ini.

Bantuan awal juga diumumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari iaitu sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terjejas.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 1:56pm
d