mutakhir

BSH dibayar 28 Ogos ini

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PEMBAYARAN fasa ketiga bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan disalurkan mulai 28 Ogos ini membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan peruntukan RM1.23 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima menggunakan maklumat akaun bank ketika pembayaran fasa kedua BSH lalu.

“Bagi fasa tiga, pendapatan isu rumah bawah RM2,000 akan menerima BSH RM400, pendapatan isu rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM300) manakala pendapatan isu rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM100.

“Sejumlah RM2.85 bilion sudah disalurkan bagi bayaran fasa pertama (Januari 2019) dan kedua (Mei 2019) BSH 2019 kepada isi rumah yang diluluskan.

“Ia termasuk bayaran kadar tambahan RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat anak.

“Anak tanggungan merujuk kepada anak berusia 18 tahun dan ke bawah dan juga anak OKU tanpa had umur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos ini dan pembayaran bagi mereka yang diluluskan rayuannya dijangka dibuat September ini.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.

Seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019, kerajaan meneruskan program BSH demi kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 7:17pm
d