mutakhir

Jemaah kini di Mina

Oleh Yusri Abdul Malek

SEMUA jemaah haji kini sudah berada di Mina untuk melakukan ibadah melontar di Jamrah Kubra mulai solat Asar semalam berdasarkan jadual melontar yang ditetapkan.

Pergerakan haji untuk masyair bermula 6 pagi Jumaat lalu apabila semua 30,200 jemaah mula digerakkan ke Arafah untuk berwukuf pada 10 Zulhijjah.

Mereka kemudian digerakkan ke Mudzalifah pula mulai 6 petang untuk bermabit.

Selepas tengah malam, semua jemaah dibawa ke Mina.

Di Mina, semua jemaah berada selama tiga hari bagi melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Sugra, Wusta dan Kubra pada hari tasyrik.

Sebelum itu, ketika di Arafah hujan lebat dan kejadian itu sama pada 2000.

Ketua Rombongan Haji Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini, pergerakan jemaah haji untuk masyair berjalan lancar.

Beliau berkata, semua jemaah haji sudah merasai wukuf di Arafah dengan baik dan juga pada waktu petang hujan.

“Ia menurunkan suhu dan memberi keselesaan kepada jemaah,” katanya.

Menurutnya, jemaah kemudian digerakkan pula dengan bas ke Mudzalifah mulai 6 petang kelmarin dan semua sudah tiba 10.05 malam.

“Kumpulan awal jemaah sudah digerakkan ke Mina mulai 11.50 malam yang dikira separuh malam dan semua kini sudah berada dalam khemah masing-masing di Mina.

“Jemaah akan dibawa melontar mengikut jadual ditetapkan iaitu selepas waktu Asar hari ini (semalam) untuk Jamrah Kubra,” katanya.

Syed Saleh berkata, semua petugas juga sudah berada dalam keadaan bersedia untuk menjaga jemaah ketika ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik.

“Di jamrah ini kita sudah menambah beberapa pos menunggu untuk petugas pandu arah dan pos menunggu untuk pergerakan bas.

“Disebabkan jarak melontar dari khemah adalah 7.5 kilometer pergi balik...maka penting ada pos menunggu.

“Tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi membenarkan TH menempatkan dua ambulans bagi kemudahan jemaah yang memerlukan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 9:31pm
d