mutakhir

Nelayan jatuh laut ditemui lemas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

NELAYAN yang terjatuh laut di Jeti Tok Arab, Kerpan, Jerlun kelmarin ditemui lemas hari ini.

Mayat Azimat Hassan, 62, ditemui terapung dan tersangkut pada tambak pantai oleh anggota RELA yang membuat rondaan di kawasan pantai Kuala Kuar pada 7.05 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira empat batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada 7.40 malam.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi itu menggunakan aset daripada pelbagai agensi termasuk bantuan bot nelayan berhampiran.

Dalam kejadian 9.21 malam Jumaat lalu, bot fiber yang dinaiki Azimat bersama anaknya, Mohd Suhaimi Azimat, 27, dipukul ombak besar menyebabkan mangsa terjatuh ke laut ketika kejadian ribut.

Bagaimanapun, anak mangsa berjaya menyelamatkan diri walaupun hampir terjatuh dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung dan pasukan penyelamat.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 10:46pm
d