mutakhir

Misi korban Muslim Care di Yaman

Oleh Faliq Lajim

SALAH sebuah kumpulan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) yang terbabit dalam program bantuan kemanusiaan dan misi korban di 15 negara terkandas kira-kira 40 jam.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Rashdan Ikhsan berkata, penerbangan mereka ditangguhkan rentetan serangan yang berlaku di Aden, Yaman.

Ahmad Rashdan yang mengetuai program bagi Yaman berkata, beliau dibantu Exco Muslim Care, Ustaz Imran Selamat bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lalu.

“Penerbangan itu menuju ke destinasi transit iaitu Mesir dan tiba keesokan hari 7 pagi (waktu tempatan). Sepatutnya transit di Mesir hanya tujuh jam saja.

“Namun apabila Aden kena serang, maka jadual penerbangan jadi tidak teratur sehingga menyebabkan kami terkandas selama 40 jam di Mesir.

“Alhamdulillah, kami selamat sampai di Seiyun, Yaman semalam, 7 pagi (waktu tempatan) sebelum menuju ke kem pelarian mangsa perang di Ma’arib,” katanya hari ini.

Ahmad Rashdan berkata, berikutan itu dia bersama Imran terpaksa mengubah rancangan awal yang sudah dirancang di sana berikutan kelewatan tiba di Ma’arib.

“Kami bertolak dari Seiyun ke Ma’arib petang semalam dan tiba 1 pagi (waktu tempatan) tadi.

“Sepatutnya kami tiba kelmarin lagi untuk urusan pembelian kambing bagi ibadat korban.

“Oleh itu, kami terpaksa buat urusan pembelian pagi ini selepas solat sunat Aidiladha 6 pagi (waktu tempatan) tadi.

“Ibadat korban pada hari ini di sini membabitkan 40 ekor kambing dan selepas saja urusan penyembelihan kami agihkan kepada mangsa perang di kem pelarian di sini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan membina telaga tiub daripada sumber air bawah tanah di beberapa kawasan Yaman dan sedang mengenal pasti kawasan memerlukan.

Sementara itu, Ahmad Rashdan berkata, beliau bersama Imran kemudiannya akan kembali semula ke Seiyun Rabu ini bagi mengagihkan pek makanan kepada mangsa pelarian yang menyewa di bandar itu dan dijangka pulang ke Malaysia Jumaat depan.

Selain Yaman, ibadah korban itu turut dilakukan serentak oleh Muslim Care Malaysia di beberapa negara lain antaranya membabitkan etnik Rohingya di Bangladesh dan juga masyarakat Islam di Nigeria, India, Tanzania, Poland, Kemboja, Filipina, Republik Chad, Palestin, Syria, Sudan, Indonesia, Nepal, Jordan serta Mesir.

Setiap tahun lebih 50,000 masyarakat Islam dalam kalangan asnaf dan fakir miskin di semua negara itu menerima manfaat bantuan daging korban dan aqiqah yang diselaraskan oleh Muslim Care.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk miskin di negara berkenaan menikmati makanan enak daging korban.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 12:10am
d