mutakhir

Gigih galas tugas suami

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“KETIKA suami sihat, dia bekerja mencari rezeki buat kami, jadi apabila dia sakit, mana mungkin saya biar dia seorang diri,” kata Norhazian Abu Bakar.

Norhazian, 37, mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga dengan berniaga di hadapan sekolah selepas suaminya, Mohamed Nadzri Hassin@Hashin, 39, tidak boleh bekerja kerana kegagalan buah pinggang sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, sejak suaminya sakit, kehidupan mereka bersama anak tunggal, Muhammad Khairul Ikhwan, 12, berubah sepenuhnya, namun dia nekad berdikari dan tidak terlalu bergantung dengan bantuan.

“Sebelum ni suami ada kencing manis dan darah tinggi sebelum mengalami masalah buah pinggang. Penyakitnnya semakin teruk dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu sejak Disember tahun lalu.

“Dia tidak lagi berdaya bekerja, sebab itu saya nekad belajar memandu untuk bawa dia buat dialisis di Manjung tiga kali seminggu.

“Saya juga berniaga kecil-kecilan dengan untung RM20 hingga RM30 sehari untuk kelangsungan hidup,” katanya yang menumpang di rumah mentua di Kampung Sungai Che Rahmat, di sini, kelmarin.

Menurutnya, mereka menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM690 sebulan selain menampung sedikit kos rawatan cuci darah. Selain itu, RM300 sebulan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jumlah itu tentu tidak cukup lebih-lebih lagi kami perlukan RM100 setiap kali dialisis termasuk kos berulang-alik. Bagaimanapun, kami bersyukur bantuan itu meringankan beban kami.

“Kami menumpang di rumah mentua dan ahli keluarga banyak membantu menyelesaikan pelbagai urusan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Nadzri berkata, sebagai ketua keluarga, dia terharu melihat kesanggupan isterinya mengambil alih tugas ketua keluarga sejak kaki dan lututnya lemah sehingga menyukarkannya berjalan.

“Saya berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana penglihatan kabur akibat kencing manis dan selepas itu saya ke laut. Sekarang saya tidak mampu bekerja dan memerlukan bantuan orang untuk berdirim,”katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0822241100001386 milik Norhazian.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 5:00am
d