mutakhir

Konvoi berakhir tragedi

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERJALANAN pulang sebuah keluarga secara berkonvoi dari Batu Layar Desaru, Kota Tinggi berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi, Semai Anak Jambu, 73, maut manakala Asah Anak Entering, 33, parah selepas Perodua Viva dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang jejambat di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Haizul Rahmad berkata, seramai 14 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 4.54 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta terbabas dan melanggar tiang jejambat.

“Bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dipercayai berkonvoi bersama tiga kenderaan selepas bercuti di Batu Layar dan kenderaan mangsa berada paling belakang.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) manakala yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 2:55pm
d