mutakhir

Korban lembu dan kambing di 34 negara

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

LAUNGAN terima kasih Malaysia berselang seli takbir memenuhi ruang lokasi penyembelihan lembu korban di bandar Rumonge di Burundi hari ini.

Pengarah Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, pihaknya memperuntukkan 28 lembu untuk program korban di kawasan berkenaan.

“Kita jangka agihan daging korban itu dapat dimanfaatkan 1,900 keluarga yang kebanyakannya terdiri daripada orang miskin,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata, kawasan penyembelihan berkenaan dipenuhi laungan terima kasih Malaysia.

“Laungan itu (terima kasih Malaysia) berselang seli dengan takbir. Mungkin ini tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana saya dimaklumkan ketua penduduk bahawa mereka tidak pernah terima kunjungan atau bantuan daripada orang luar sebelum ini.

“Kita adalah saudara seagama pertama yang datang ke sini dan menganjurkan program korban,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sumbangan mereka.

Menurut Ahmad Fadzlullah, disebabkan penduduk Islam adalah golongan minoriti di negara itu selain perang saudara masih berlaku menyebabkan golongan muslim sentiasa ditindas.

“Hanya 200,000 penduduk adalah muslim berbanding 10.8 juta populasi di negara ini (Burundi).

“Perang saudara yang meletus menyebabkan ekonomi negara itu tidak berkembang menyebabkan kemiskinan penduduknya pada tahap tertinggi.

“Kehadiran kita membawa amanah rakyat Malaysia bagi menguruskan korban sekali gus memberikan seribu makna buat mereka,” katanya.

Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati kebanyakan penduduk mula menjemur daging korban yang diterima mereka selepas dipotong nipis.

“Saya dimaklumkan, ini sebagai proses untuk menyimpan daging berkenaan sebagai stok makanan mereka selama beberapa bulan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada hari pertama korban pihaknya sudah mengagihkan 5,111 lembu dan 1,744 kambing di 34 negara.

Untuk rekod, negara pelaksanaan ibadah korban anjuran EZ Qurban adalah Kemboja, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Laos, Thailand, India, Myanmar, Chad, Ivory Coast dan Kenya.

Selain itu Malawi, Mali, Morocco, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Uzbekistan, Congo, Burkina Faso, Rwanda, Burundi, Nigeria, Ethiopia, Pakistan, Somaliland, Sudan, Yaman, Kyrgystan, Nepal dan Ghana.

Ahmad Fadzlullah berkata, seperti kebiasaannya, pengagihan daging korban dilakukan mereka adalah membabitkan golongan fakir miskin, anak yatim dan pelarian.

“Tiga kem pelarian seperti Kem Pelarian Rohingya di Cox Bazaar yang menempatkan sejuta pelarian, Kem Daadab (200,000 orang), Kem Pelarian di Kenya dan Chad yang menempatkan lebih 500,000 pelarian adalah lokasi utama agihan korban,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 3:40pm
d