mutakhir

Cari besi jumpa tengkorak

Oleh Garret Dawum

DUA lelaki yang sedang mencari besi buruk terkejut apabila menemui rangka manusia dalam keadaan rentung dan terbakar di Jalan Pelabuhan Pending, Kuching, malam tadi.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 32 tahun segera membuat laporan polis jam 1.16 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan rangka manusia itu.

Beliau berkata, rangka itu ditemui jam 11 malam oleh seorang penjual besi dan rakannya di semak berhampiran Jambatan Pending.

“Mereka menjumpai tulang dan mendapati tengkorak manusia dalam guni dalam keadaan rentung.

“Keadaan mayat secara keseluruhannya rentung dan ada sudah menjadi abu. Bahagian dapat dikenal pasti hanya tulang kaki, pinggul dan tengkorak,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen ditemui di kawasan sekitar.

“Kes masih dalam siasatan dan identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Awang Din berkata, rangka berkenaan sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 5:09pm
d