mutakhir

Badan Kebajikan dan Khairat NSTP korban 7 lembu

Oleh Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Badan Kebajikan dan Khairat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) berkongsi kemeriahan sambutan Aidiladha dengan mengorbankan tujuh ekor lembu di Balai Berita, di sini, semalam.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, ibadah korban yang dilakukan secara gotong-royong itu adalah acara tahunan NSTP sebelum daging diagihkan kepada asnaf terpilih.

Katanya, BERNAS menyumbang 120 kampit beras manakala Harian Metro menyampaikan barang keperluan harian kepada golongan asnaf yang dijemput khas memeriahkan majlis berkenaan.

“Lima ekor lembu adalah sumbangan kakitangan NSTP, manakala masing-masing seekor lembu sumbangan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan Madness Film Sdn Bhd,” katanya selepas majlis agihan daging korban di Balai Berita, di sini.

Daging korban berkenaan diagihkan kepada Darul Furqan, Gombak, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) selain diberikan kepada orang miskin, anak yatim dan ibu tunggal sekitar Lembah Klang.

Majlis penyampaian sumbangan itu disertai Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Risiko dan Governan Media Prima Berhad, Mohd Hisham Shazli dan Ketua Pegawai Eksekutif Madness Film, Shafirulnizam Haron.

Ahmad Zaini yang juga Pengarang Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa Berita Harian serta Setiausaha Badan Khairat NSTP Zamanuddin Jusoh turut menyertai aktiviti melapah serta mengagihkan daging lembu.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 6:29pm
d