mutakhir

Cabul pelancong Jepun... memalukan

Oleh Fardy Bungga

PEMANDU bas mini berusia 30 tahun ditahan polis selepas disyaki mencabul pelancong wanita warga Jepun, semalam.

Lelaki itu ditahan 10.30 malam di hadapan sebuah kedai di Jalan Sulaman di Kota Kinabalu, selepas mangsa berusia 40 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan mendapati mangsa baru sampai di bandar raya ini, Sabtu lalu.

Katanya, dalam kejadian 2 petang itu, mangsa dikatakan menaiki bas mini dipandu suspek di Terminal Bas Bandaraya untuk pergi ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

“Selepas selesai melawat kawasan masjid, mangsa menaiki semula bas berkenaan dan meminta pemandu menghantar semula pulang ke terminal.

“Suspek, bagaimanapun, meminta mangsa duduk di bahagian depan penumpang.

“Setibanya di kawasan Bukit Bendera, suspek tiba-tiba memegang bahagian sensitif wanita itu sebelum memberitahu dia menyukai mangsa dan terus memeluk wanita berkenaan.

“Mangsa meronta-ronta cuba melepaskan diri, namun suspek terus mencabul mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek kemudian memberhentikan bas di tepi jalan dan sekali lagi cuba mencabul mangsa sehingga menyebabkan mangsa menjerit.

“Suspek kemudian meninggalkan mangsa di Jalan Dewan di Kota Kinabalu sebelum mangsa meminta pertolongan orang awam untuk membuat laporan polis.

“Berikutan laporan yang dibuat, polis berjaya menahan pemandu terbabit dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 7:55pm
d