mutakhir

Terkandas di Hong Kong

Oleh Faliq Lajim

RAKYAT Malaysia antara yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) susulan pihak berkuasa di negara berkenaan membatalkan baki jadual penerbangan pelepasan dan ketibaan di lapangan terbang itu, hari ini.

Rakyat Malaysia, Norhayati Md Noor, 46, berkata, dia bersama sembilan ahli keluarga yang lain sudah berada di HKIA sejak 3 petang tadi.

Dia yang juga Pegawai perkhidmatan pelanggan berkata, penerbangan mereka sepatutnya dijadualkan pada 9 malam ini, namun terpaksa dibatalkan berikutan berlakunya rusuhan di negara itu.

“Keadaan di HKIA lumpuh yang mana semua kedai, penjaga kaunter, pihak berkuasa dan lain-lain lagi tiada di sini. Cuma penuh dengan orang yang berbaju hitam.

“Walaupun, mereka tidak kacau kami, namun kami tetap khuatir berikutan tidak biasa dengan keadaan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Norhayati berkata, dia dan ahli keluarga sudah menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong sebelum bercuti di negara itu pada Jumaat lalu.

“Sebelum kami ke sana, kami sudah bertanyakan mengenai keadaan di sana termasuk keselamatan berikutan keadaan yang berlaku di sana.

“Kami kemudian tetap teruskan percutian kami apabila diberitahu situasi di sana selamat. Namun, tidak sangka jadi seperti ini.

“Malah, ketika kami pergi ke pulang dari Disneyland pada Sabtu lalu, kami terpaksa berjalan hampir dua jam menuju ke hotel berikutan berlaku rusuhan di stesen kereta api,” katanya.

Sementara itu, dia berharap keadaan kembali dan mengharapkan doa rakyat Malaysia agar segala urusan mereka sana dipermudahkan.

“Kami memang tersangkut di sini dan tak boleh ke mana-mana. Jadi kami tidak tahu apa yang perlu kami buat dan bagaimana penerbangan kami selepas ini.

“Kedutaan yang lain ada yang sudah membawa pulang rakyat mereka ke suatu tempat yang lebih selamat.

“Kami juga sudah menghubungi Konsulat Jeneral (Malaysia) mengenai situasi yang berlaku dan mereka kemudiannya menjenguk dan menghantar pizza kepada kami. Mereka juga memberitahu untuk tunggu di sini sehingga esok,” katanya.

Terdahulu media antarabangsa melaporkan, pembatalan itu dibuat oleh pihak berkuasa lapangan terbang berikutan tindakan ribuan kumpulan penunjuk perasaan yang melangkah memasuki dewan ketibaan untuk melancarkan bantahan.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 12:47am
d