mutakhir

Inovasi jantung pisang

Oleh Mohd Rafi Mamat

RASANYA yang enak dan mampu disimpan lebih tiga bulan serta tiada bahan pengawet menjadi kelebihan serunding jantung pisang hasil inovasi seorang pelajar Kolej Vokasional Puteri Temerloh.

Hartini Hardipa, 19, mengambil masa kira-kira tujuh bulan melakukan penyelidikan sambil dibantu gurunya, Laila Othman sebelum berjaya menghasilkan produk tradisional itu yang juga mempunyai khasiat mencegah diabetis.

Menurutnya, sebelum ini jantung pisang hanya dijadikan ulam selepas dicelur tetapi kini ia boleh dipelbagaikan mengikut selera makan individu yang menyukainya.

“Tidak semua jantung pisang boleh dijadikan serunding, hanya beberapa jenis saja antaranya jantung pisang raja dan pisang nipah kerana ia tidak kelat.

“Lima proses perlu dilakukan bagi menghasilkan produk berkenaan turut dicampur dengan beberapa jenis bahan tambahan termasuk bawang, lada dan serai,” katanya yang berasal dari Kampung Melayu, Gambang di Kuantan.

Hartini ditemui ketika menyertai Innovative Creative Competition TVET 2019 (ICC TVET ‘19) peringkat negeri di Kolej Komuniti Temerloh.

Menurutnya, harganya jauh lebih murah turut menjadi kelebihan terhadap produk berkenaan berbanding serunding daging dan ayam yang sememangnya sudah terkenal sejak beratus tahun lalu.

Gadis yang meminati bidang masakan itu berkata, inovasi serunding jantung pisang yang dihasilkan memberi peluang kepada individu yang tidak makan serunding daging dan ayam merasa produk berkenaan kerana rasanya hampir sama.

Katanya, idea menghasilkan serunding jantung pisang kerana pada jantung pisang terdapat banyak khasiat selain ingin memastikan produk berasaskan jantung pisang dapat disimpan lebih lama tanpa mengubah rasa dan keenakannya.

“Produk serunding jantung yang pertama dihasilkan turut dapat membantu pekebun pisang untuk memasarkan hasil pertanian mereka secara berterusan selain dapat menambah pendapatan.

“Saya yakin produk serunding jantung pisang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa terutama negara Timur Tengah yang meminati makanan mengandungi rempah ratus.

“Serunding jantung pisang dijual dengan harga RM6 bagi 200 gram,” katanya yang turut yakin produk berkenaan dapat membantu merawat penyakit gastrik.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 10:17am
d