mutakhir

PERKESO mula keluarkan kompaun

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PEMANDU teksi, e-hailing dan bas yang belum mendaftar bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) disarankan supaya segera berbuat demikian kerana Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mula mengeluarkan kompaun, minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, sehingga hari ini, hanya 53,801 daripada lebih 300,000 pekerja persendirian yang direkodkan, berdaftar dalam skim SPS.

“Saya nak tekankan di sini, PERKESO atau kerajaan bukan mahu menyusahkan anda tapi kita cuba bantu menjaga kebajikan pekerja sendiri dan keluarga mereka. Semalam, seorang pemandu teksi maut ketika memandu dan apabila kita semak, dia sudah berdaftar dengan SPS pada 1 Ogos lalu, jadi dia layak menerima sepenuhnya pampasan termasuk pencen bulanan seumur hidup kepada isteri dan anak.

“Bagi mereka yang masih berdegil, kompaun akan dikeluarkan dan jika masih gagal, kita akan dakwa dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media di Menara PERKESO, Ampang, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, 149 pemandu teksi dan pemandu e-hailing menerima faedah skim SPS manakala 12 daripadanya yang meninggal dunia sudah kita serahkan faedah bulanan kepada waris.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, pekerja yang menghidap penyakit buah pinggang dan kanser boleh menyertai Program ‘Return To Work PERKESO’ (Kembali Bekerja PERKESO) sekiranya diberhentikan majikan masing-masing.

Katanya, walaupun penghidap penyakit terbabit tidak dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), namun mereka tetap berpeluang untuk kembali berkerja.

“Perkataan kurang itu tidak sesuai (kurang upaya). Saya rasa kita perlu tukar kepada kelainan upaya kerana apabila pekerja menghidap kanser atau sakit buah pinggang hingga perlu jalani rawatan dialisis, mereka masih ada keboleh tapi keboleh yang berbeza.

“Kes macam ini kadang kala diberhentikan majkan, datang kepada kami dan kami akan bantu. Jika ada kelayan sewajarnya, kami bantu cari kerja yang sesuai dan jika tidak, kita akan beri latihan mengasah semula kemahiran atau menambah kemahiran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara PERKESO, Ampang, hari ini.

Menurutnya, Program ‘Return To Work’ yang dimulakan sejak 2007 menunjukkan kejayaan apabila 25,891 pencarum PERKESO kembali berkerja sehingga 31 Julai lalu.

Mohammed Azman berakata, jumlah itu membabitkan 71.4 peratus daripada pencarum yang hilang keupayaan akibat kemalangan, menjalani rehabilitasi dan kembali berkerja.

Katanya, kes kemalangan membabitkan pekerja mencarum dengan PERKESO sentiasa meningkat dan sehingga tahun lalu, ia mencatatkan 72,631 kemalangan dan untuk lima tahun terakhir sahaja, pampasan dikeluarkan PERKESO kepada pekerja yang mengalami kecederaan mencecah RM1.1 bilion pada 2018.

Mengulas mengenai isu yang sama, beliau berkata, PERKESO akan terus memperkasa Program ‘Return To Work’ dan akan meningkatkan kesedaran majikan dan masyarakat untuk menerima kembali pekerja yang hilang upaya tertentu, untuk berkhidmat.

“Jangan jadi ‘double standard’ dalam menerima pekerja, meskipun diakui ada stigma dalam masyarakat untuk menerima pekerja yang ada kekurangan.

“Kurangnya pengetahuan mengenai hilang upaya, halangan fizikal termasuk kemudahan untuk masuk ke bangunan dan persekitaran pekerjaan yang tidak mesra OKU, kurang kesedaran pengurusan tertinggi syarikat terhadap kepelbagaian (diversity) termasuk orang yang kurang upaya, dikenal pasti melekat dalam masyarakat,” katanya lagi.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 10:54pm
d