mutakhir

Keadaan jemaah Malaysia terkawal

Oleh Faliq Lajim

KEADAAN di kawasan perkhemahan Mina Muaisim terkawal walaupun hujan lebat berlaku pada jam 4 petang, semalam (waktu tempatan).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tiada ancaman nyawa dan kecederaan dilaporkan membabitkan jemaah serta petugas haji Malaysia.

“Keadaan khemah juga selamat dan terkawal. Adalah menjadi amalan apabila hujan lebat di kawasan perkhemahan, pihak berkuasa bomba Arab Saudi mengarahkan bekalan elektrik ditutup untuk mengelakkan insiden kejutan elektrik.

“Bekalan elektrik pulih sepenuhnya jam 7.10 malam (waktu tempatan), semalam,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, rata-rata kerosakan dalam khemah hanya membabitkan permaidani yang basah berikutan dimasuki air hujan.

“Pihak Muassasah Asia Tenggara sudah menggantikan sebahagian permaidani dan mengedarkan plastik hitam sebagai alas.

“Jemaah Haji menggunakan tikar plastik dibekalkan ketika di Malaysia lagi sebagai alas.

“Mereka turut bekerjasama membersihkan kawasan khemah terjejas secara bergotong-royong,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, jadual melontar pada waktu petang juga ditangguhkan kepada jam 8.20 malam (waktu tempatan) semalam.

“Keadaan di Mina sudah kembali pulih seperti sedia kala pada jam 8.00 malam (waktu tempatan) semalam.

“Hari ini, sebahagian Jemaah Haji Malaysia bertolak dari Mina ke Makkah selepas melakukan Nafar Awal,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 11:41pm
d