mutakhir

Modal RM100,000, pinjam sampai RM5 juta

Oleh Idris Musa

ORANG Melayu berada dalam krisis. Demikian disuarakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang tiada lain melainkan menjentik kesedaran umat Melayu.

Menurutnya, apa saja yang mereka hendak lakukan, mereka berasa tersekat sedangkan tidak perlu berasa takut atau tidak boleh.

“Kita tak mahu lagi kedengaran masyarakat Melayu dan Bumiputera ketinggalan dan mereka seolah-olah sebuah masyarakat yang tidak mahu berusaha. Kita kena ubah.

“Kita tidak mahu lagi dihimpit, diheret oleh satu-satu pihak dan kena sedar kalau kita tidak mahu berusaha dengan lebih gigih, maka kita akan terus ketinggalan,” katanya ketika merasmikan 100 Top Young CEO 2019 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Muez Abd Aziz; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Organisasi Pengarah Syarikat Malaysia (MOCAD), Datuk Seri Dr Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Penganjur, Datuk Mohd Ali Abdul Majis.

Anugerah itu membabitkan 10 kategori iaitu Wanita Dalam Perniagaan, Usahawan Bakat Khas, Anugerah Khas-Kepimpinan, Industri Peruncitan, Perusahaan Sederhana Kecil, Industri Teknologi, Industri Bumiputera, Industri Makanan dan Minuman, Industri Pendidikan dan Latihan serta Industri Kewangan dan Hartanah.

Beberapa artis turut menerima anugerah berkenaan antaranya Rozita Che Wan (Wanita Dalam Perniagaan), Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza, DJ Fuzz, Wawa Zainal dan suami, Ariel Zafrel serta Hannah Delisha (Usahawan Bakat Khas).

Terdahulu, pada majlis itu, turut dilancarkan majalah IKON menampilkan beberapa segmen termasuk kewangan, perniagaan dan teknologi.

Mohd Redzuan turut mengingatkan jika orang Melayu tidak mahu membangunkan diri dengan menimba ilmu terutama dalam era ekonomi digital kini, maka mereka tidak boleh berdaya maju.

Beliau akui, ramai usahawan tidak faham atau mungkin bersikap leka termasuk tidak mahu memahami pengurusan kewangan.

“Ada seorang pemohon membuat pinjaman dana RM5 juta. Kita tanya, nak buat apa? Dia kata, nak kembangkan perniagaan. Bila kita kaji, modal diperlukan hanya RM100,000.

“Bila kita tanya dia, nak pakai RM5 juta nak buat apa? Standby (sebagai persediaan), esok nak beli kereta baru, nak renovate (ubah suai) rumah.

“Dia tak sedar perniagaan dia modal hanya RM100,000 diperlu tapi menanggung bebanan RM5 juta. Inilah antara ciri yang kita lihat, jangan salahkan orang lain. Kita kena tengok diri kita sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 1:31am
d