mutakhir

Anggota polis nyaris dirempuh

Oleh Hadzlihady Hassan

BIMBANG dicekup, seorang lelaki bertindak gila apabila memecut kereta hingga nyaris merempuh pegawai dan anggota polis yang menahannya untuk pemeriksaan di Jalan Pasar, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, pemandu kereta berusia 31 tahun bersama seorang rakan berusia 49 tahun ditahan polis selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, sepasukan polis pada mulanya menahan Perodua Myvi dinaiki suspek yang berada di tepi jalan.

Menurutnya, selepas memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa polis, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif memecut kereta dan cuba melanggar pegawai dan anggota polis yang menahannya.

“Suspek terus memandu melalui Jalan Pasar hingga ke Jalan Muthu Palaniappan dan pemandu kereta terbabit turut melanggar beberapa kenderaan lain dalam usahanya untuk meloloskan diri.

“Bagaimanapun, kereta dipandu suspek berjaya dihentikan polis ketika berada di hadapan sebuah rumah kedai dan penumpangnya dicekup,” katanya.

Mohd Mustafa berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, pemandu kereta berkenaan sekali lagi terus memecut kereta dan dia meninggalkan kenderaan terbabit di tepi jalan sebelum menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta berkenaan disewa suspek sejak seminggu lalu dan sepatutnya diserahkan kepada pemilik kenderaan itu hari ini.

“Ujian air kencing yang dilakukan terhadap penumpang kereta yang ditahan mendapati dia positif methamphetamine dan polis kini sedang memburu pemandu yang melarikan diri itu,” katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan itu mempunyai empat rekod lampau bersabit dua kes jenayah dan dua kes dadah manakala rakannya yang masih bebas memiliki lima rekod lampau bersabit kes dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 1:59pm
d