mutakhir

Jurujual didakwa tipu usahawan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

JURUJUAL kereta didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, atas dakwaan menipu seorang pemaju perumahan membabitkan wang berjumlah hampir setengah juta ringgit, awal tahun lalu.

Chong U Gene, 46, dituduh memperdaya Datuk Lee Seng Hee, 64, untuk menyerahkan wang berjumlah RM440,000 sebagai bayaran deposit bagi pembelian kereta jenis Range Rover 5.0 V8 Autobiography yang disyaki sebenarnya tidak wujud.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank Jalan Yang Kalsom, Ipoh kira-kira 12 tengah hari pada 29 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, U Gene mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Majistret Nabihah Mohd Noor membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan, manakala tertuduh diwakili Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Deva Sana Pathy.

Pada 5 Julai lalu, tertuduh didakwa di mahkamah sama atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan berjumlah RM49,000.

Dia didakwa memperdaya syarikat Team Keris Berhad untuk memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaunnya untuk mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap daripada Jabatan Pengangkutan Jalan pada jam 4.44 petang di RHB Bank, Persiaran Greenhill Ipoh, pada 27 Februari 2018.

U Gene juga didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan kereta jenis Mercedes Benz milik syarikat Keris Properties Sdn Bhd berjumlah RM40,000 di TKB Tower, Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah di Ipoh pada 14 Mac 2018.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 2:54pm
d