mutakhir

Padah rompak, cederakan pemandu Grab

Oleh Murni Wan Omar

“DALAM penjara nanti belajar bertukang, buat roti atau potong rambut, jangan buat jenayah,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap seorang tukang paip yang mengaku bersalah merompak sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu Grab.

Hakim Mahyon Talib dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadap Mar Kong Ming, 33, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 Mei lalu.

Mar didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera ketika melakukan rompakan terhadap mangsa berusia 30 tahun di Tepi Jalan Teratai 2, Setapak, di Kuala Lumpur, pada 2.45 petang, 9 Mei 2019.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya atas alasan hanya dia bekerja dan mempunyai tanggungan dua anak yang masih kecil.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 3:41pm
d