mutakhir

Amukan sang belalai

Oleh Ibrahim Isa

TIGA gajah dipercayai daripada kumpulan Gajah Panti dikatakan tersesat sejauh lebih 10 kilometer sebelum memusnahkan tanaman penduduk Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, Johor Bahru, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima aduan penduduk kampung kira-kira jam 7.50 pagi dan sepasukan anggota serta pegawai dikejarkan ke lokasi.

“Apabila tiba, kami mendapati beberapa tanaman penduduk kampung musnah dan hasil siasatan ia dimusnahkan kira-kira tiga gajah dipercayai mencari makanan.

“Kami percaya, gajah berkenaan daripada kumpulan Gajah Panti, namun ia mungkin tersesat dan mula menyerang tanaman antara tengah malam hingga Subuh, hari ini.

“PERHILITAN Johor menerima aduan serangan gajah di kampung berkenaan sejak 26 Julai lalu dan serangan pagi tadi adalah kejadian kali keenam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan itu, katanya, PERHILITAN Johor menempatkan anggota dan pegawai di lokasi untuk membuat kawalan serta kajian sama ada sesuai atau tidak melakukan operasi tangkapan.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 6:10pm
d