mutakhir

Kantoi bawa anjing dari Siam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan sebuah motosikal membawa seekor anjing dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan mendapati, anjing baka ‘Pomeranian’ bernilai RM500 cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen Import Permit dan sijil kelahiran veterinar sah pada 2 Ogos lalu.

Anjing itu ditahan bertujuan mengawal virus anjing gila (rabbies) sekiranya menjangkiti manusia yang boleh mengakibatkan kematian.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, haiwan itu dirampas manakala individu berkenaan dikenakan tindakan tegas kerana gagal mematuhi syarat import ditetapkan.

Beliau berkata, perbuatan mengimport binatang tanpa permit dari MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 6:24pm
d