mutakhir

2 menteri mahu Zakir Naik dilarang berceramah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

DUA menteri Kabinet hari ini mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah serta mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum dan ketenteraman awam di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dalam satu kenyataan bersama berkata, isu menyelubungi penceramah Zakir yang menimbulkan kontroversi termasuk ceramah di Kota Bharu, Kelantan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Kami menyatakan pendirian yang mana tindakan perlu diambil yang mana Zakir tidak boleh dibenarkan untuk terus berada di Malaysia.

“Perdana Menteri mengambil maklum kebimbangan kami ini. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan kedudukan dan membuat keputusan dengan segera apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Tambah kenyataan yang turut dimuatnaik di Facebook menteri berkenaan, turut menyatakan kebimbangan berkenaan kenyataan dan ucapan Zakir yang kontroversi.

“Justeru kami membantah sebarang ceramah atau acara membabitkan Zakir di negara ini diadakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam,” katanya.

Semalam, ketika ditanya gesaan Kulasegaran yang mahu Zakir diusir serta merta kerana mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu di negara ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak boleh berbuat demikian kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.

Namun katanya, jika ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, mereka dialu-alukan berbuat demikian.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 6:24pm
d