mutakhir

Tendang pintu kereta lawan peragut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN pantas anggota polis kereta peronda (MPV) berjaya menahan penjenayah yang meragut beg milik suri rumah di hadapan pasar raya di Taman Connaught, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika kejadian 11.20 malam itu, mangsa, 21, berada di dalam keretanya sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal.

“Seorang daripada suspek membuka pintu kereta itu dan meragut beg dan telefon bimbit milik mangsa.

“Malah, suspek terbabit turut menumbuk pipi wanita berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, mangsa cuba melawan dengan menendang pintu kereta ke arah suspek.

“Namun, seorang daripada suspek mengeluarkan parang dan mengacukannya ke arah mangsa.

“Ketika kejadian, kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan melihat insiden pergelutan itu dan terus memberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek ditahan, manakala seorang lagi melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas merempuh kereta peronda polis.

“Hasil tangkapan itu, kami merampas sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, topi keledar, beg, parang, gergaji besi, beg tangan, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM670.

“Selain itu, kami juga menemui satu paket dadah dipercayai metaphetamin seberat 1.50 gram serta satu pil erimin 5,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek berusia 34 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Malah, ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek terbabit positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 20 Ogos nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Katanya, usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 9:30pm
d