mutakhir

Keluarga warga Singapura hadir buat pengecaman [METROTV]

Oleh BERNAMA

ANGGOTA keluarga wanita warga Singapura dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, Kemaman, Khamis lalu, tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Kehadiran mereka bagi membuat pengecaman mayat wanita ditemui kira-kira 12.50 tengah hari, semalam, di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman oleh nelayan tempatan.

Kira-kira 15 anggota keluarga Puah Geok Tin, 57, yang menaiki empat kereta bernombor pendaftaran Singapura tiba di hospital jam 11.45 malam dengan diiringi kereta polis dan kereta Kedutaan Singapura cawangan Johor.

Tinjauan mendapati, anggota keluarga itu kelihatan sugul dan berpelukan sesama sendiri. Beberapa anggota keluarga dilihat meraung selepas keluar dari bilik mayat.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan merakam gambar atau video serta menemuramah anggota keluarga itu.

Difahamkan, bedah siasat akan dilakukan esok.

Terdahulu, Puah dan seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, kedua-duanya warga Singapura dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah daripada kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Semalam, kayak dinaiki kedua-dua mereka ditemui jam 12.55 tengah hari di perairan Kuantan, Pahang sebelum mayat seorang wanita ditemui nelayan pada 12.50 tengah hari semalam di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 1:19am
d