mutakhir

Guru besar terlepas pandang

Oleh Noorazura Abdul Rahman

GURU besar sebuah sekolah rendah di Ayer Hitam, Jerlun berjanji akan mengambil langkah secara berhemah dan bijaksana dalam menangani kes buli yang didakwa membabitkan murid tahun tiga sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Dr Salmee Said berkata, pihak sekolah memohon maaf kerana terlepas pandang kes itu dan berjanji akan menyelesaikannya dengan segera.

Bagaimanapun, menurutnya, pihak sekolah akan menunggu hasil siasatan polis terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

“Pada Selasa lalu, guru besar sekolah terbabit sudah memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu bahawa kes buli itu tidak dilaporkan kepadanya oleh waris dan guru sekolah.

“Namun, mangsa ada membuat aduan kepada guru bahasa Melayu mengenai murid lain yang pernah membuli dengan cara meminta duit dan mengejek.

“Guru berkenaan ada mengambil tindakan menasihati dan memberi amaran kepada murid terbabit supaya kejadian itu tidak berulang,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Salmee berkata, selepas kes itu timbul guru kelas memaklumkan kepada guru besar terbabit termasuklah maklumat mengenai mangsa dimasukkan ke wad kerana mengalami masalah saraf dan tulang belakang.

Menurutnya, ia termasuklah maklumat yang mengatakan doktor mengesyaki masalah tulang belakang yang dihadapi mangsa disebabkan kecederaan lama kerana jatuh atau hentakan.

“Sekiranya beliau (guru besar) tahu lebih awal, pasti tindakan awal akan diambil supaya kejadian itu tidak berulang.

“Selepas ini, guru besar berjanji akan berjumpa dengan waris untuk menyelesaikan kes itu secepat mungkin tetapi sebagai menghormati permintaan waris untuk menyerahkan siasatan kepada pihak polis, pihaknya akan berbuat demikian selepas siasatan polis selesai,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, waris mangsa ketika dihubungi juga berjanji akan membantu pihak sekolah menjalankan siasatan.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah menerima semua maklumat dan laporan awal kejadian daripada PPD Kubang Pasu dan menunggu siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, seorang murid sekolah rendah di Ayer Hitam itu didakwa mengalami masalah tulang belakang kerana sering dibuli tiga murid lain sejak tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 9, mendakwa sering ditendang di bahagian belakang badan dan paha, selain diperas ugut menyerahkan wang saku.

Berita berkaitan:

  • Tulang belakang bengkok dibuli
  • Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 11:41am
    d