mutakhir

Pekerja bank disimbah asid

Oleh Hadzlihady Hassan

WANITA melecur muka dan badan selepas disimbah asid di hadapan sebuah bank di Jalan Burma, Pulau Tikus, Georgetown, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa berusia 48 tahun dan bekerja sebagai penasihat undang-undang di sebuah bank itu disimbah asid oleh pembonceng motosikal ketika dia mahu melintas jalan.

Dia yang dalam keadaan menahan kesakitan kemudian hanya mampu berlari masuk semula ke bank sambil menjerit meminta pertolongan dan turut menghubungi ahli keluarga serta rakannya.

Menurut sumber, ahli keluarga mangsa yang tinggal tidak jauh dari tempat kerjanya itu tiba dan mereka memberi bantuan awal sebelum menghubungi ambulans.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan dia didapati melecur di muka, kedua-dua tangan serta paha dan kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, hasil keterangan awal daripada mangsa, dia mendakwa dihampiri dua lelaki berkulit gelap yang menaiki sebuah motosikal ketika mahu melintas jalan.

“Mangsa mendakwa, ketika itu motosikal dinaiki dua lelaki terbabit secara tiba-tiba melintas di hadapannya sebelum pembonceng menyimbah asid ke mukanya.

“Wanita berkenaan juga memberitahu dia tidak sempat melihat jenis serta nombor pendaftaran motosikal terbabit kerana kejadian berlaku begitu pantas,” katanya.

Menurutnya, mangsa juga turut mendakwa yang dia tidak mempunyai musuh serta bermasalah dengan mana-mana pihak.

“Setakat ini, polis sedang melakukan siasatan lanjut dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang ada berhampiran lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 11:43am
d