mutakhir

Kenapa dibakar?

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN seorang lelaki membakar dua motosikal yang parkir di luar kilang di Batu Caves, Gombak mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai operator kilang menyedari motosikal terbabit terbakar pada 3.15 petang apabila diberitahu oleh rakannya.

Menurutnya, mangsa kemudian keluar dari kilang untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati ada kesan terbakar di bahagian tempat duduk pada dua motosikal.

“Susulan itu, dia tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Polis yang menerima maklumat itu ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapatinya dilakukan suspek berusia 29 tahun,”

katanya.

Samsor berkata, polis kemudian bertindak mencari suspek dan berjaya menahannya tidak lama kemudian bagi membantu siasatan.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan.

“Suspek direman selama lima hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 12:22pm
d