mutakhir

Isu Zakir Naik: PAS puji ketegasan Tun M

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

PAS mengakui sangat menghormati dan menghargai ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam menangani isu kontroversi membabitkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata ketegasan Dr Mahathir patut dipuji walaupun berdepan tentangan daripada segelintir pihak yang mahu Zakir diusir serta merta dari negara ini kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu.

“PAS sangat menghargai ketegasan Perdana Menteri dalam isu ini, walaupun dikelilingi oleh suara tidak matang dan sejahtera dengan hujah politik dan perundangan yang tidak berpijak dengan realiti negara Malaysia yang menegaskan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

“Malangnya, terdapat daripada kalangan penganut Islam sendiri yang buta al-Quran yang lebih tidak matang daripada buta huruf,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini menegaskan, Malaysia tidak boleh mengusir Zakir susulan gesaan beberapa pemimpin kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.

Namun Perdana Menteri berkata, jika ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, mereka dialu-alukan berbuat demikian.

Mengulas lanjut Hadi berkata, PAS percaya di sebalik isu kontroversi membabitkan Zakir masih ramai di kalangan bukan Islam yang berfikiran matang dan berpendapat tidak perlu campur tangan dalam urusan Islam.

Beliau berkata, ini kerana ramai kalangan bukan Islam percaya campur tangan hanya akan mengundang ketegangan dalam masyarakat majmuk yang tetap dipelihara oleh Islam dan penganutnya.

Sebaliknya beliau berkata, apa yang dikesalkan ialah ada antara pemimpin Islam sendiri yang kurang tahu dan sedar betapa menjadi kewajipan kepada penganut Islam untuk mempertahankan agamanya dan melindungi pendakwahnya apabila diancam.

“Begitulah kalau Zakir itu gila sekalipun, bawa sahaja dia ke hospital. Tetapi kalau dia tidak gila, maka yang bersuara lantang itu perlu diberi perhatian kerana ada kesilapannya yang tidak harus dibiarkan.

“Janganlah pula orang Islam yang tidak mendalami agamanya sendiri, bercakap laksana botol yang sedikit air di dalamnya, maka kuat bunyi yang berdengung sahaja, kalau isinya banyak maka dengungannya tidaklah bising.

“Saya tegaskan bahawa isu Zakir, jangan sampai melanggar lampu isyarat berwarna merah. Hanya orang Islam yang munafik sahaja atau imannya berpenyakit atau hilangnya kemanisan iman di dalam diri, sehingga menjadi laksana orang yang tidak kenal lampu isyarat merah dan hijau,” katanya.

Beliau berkata, individu daripada kalangan penganut Islam yang memperkecilkan isu Zakir itu disifatkan tiada pengetahuan yang sebenar dan bukan ahli dalam ilmu perbandingan agama.

Hadi berkata, lebih sejuta ahli PAS tidak mengizinkan Zakir dibiarkan sahaja dan ramai umat Islam daripada pelbagai parti dan badan bukan kerajaan yang peka, selain kalangan bukan Islam yang tetap bermasyarakat majmuk dan berperikemanusiaan mendukung konsep demokrasi dan hak kebebasan manusia yang sebenar.

“Jangan merempuh apabila lampu merah menyala, kerana hak persaudaraan Islam itu mengatasi warganegara dan merentasi sempadan negara dan bangsa. Inilah hakikatnya, bukannya menghasut,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 5:25pm
d