mutakhir

Anas sudah tiada...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PENDERITAAN Anas Mikhail Abdullah, 3, yang dikesan menghidap penyakit leukimia kronik sejak berusia lapan bulan berakhir apabila dia disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown, hari ini.

Kanak-kanak itu sebelum ini dibenarkan pulang dan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarganya di Parit Buntar, sejak Sabtu lalu, namun kesihatannya semakin kritikal sebelum dikejarkan ke HPP kira-kira 11 malam tadi.

Anas Mikhail yang menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada 1.36 pagi.

Jenazahnya dibawa pulang serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Simpang 5, Kampung Tanah Kebun, Parit Buntar, kira-kira 11 pagi tadi.

Neneknya, Faridah Wan Chik, 48, berkata, cucunya itu dirawat di HPP selama 11 hari dan dibenarkan pulang Sabtu lalu iaitu sehari sebelum Aidiladha.

“Bagaimanapun kesihatannya semakin menyusut sejak Isnin lalu dengan arwah tidak selera untuk makan.

“Keadaan semakin kritikal hinggalah semalam dia nazak dan kami bergegas membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, keluarga reda dengan pemergiannya serta bersyukur kerana arwah ‘dipinjamkan’ sementara bagi menceriakan keluarga dan kini penderitaannya sudah berakhir.

“Kami juga gembira apabila hajatnya untuk melihat haiwan di zoo sudah ditunaikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang selama ini membantu dan mendoakan kesihatan Anas,” katanya.

Harian Metro 6 Julai lalu melaporkan hajat seorang kanak-kanak yang menderita penyakit leukimia kronik untuk melihat haiwan di Zoo Taiping tercapai apabila dipenuhi Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai dengan kerjasama Persatuan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN).

Ketika berpeluang melawat Zoo Taiping, riak wajah Anas Mikail yang datang ke situ bersama nenek dan ibu saudaranya tampak gembira, biarpun dalam keadaan kurang sihat dan tidak bermaya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 5:29pm
d