mutakhir

Polis buru ahli Geng 08

Oleh Siraj Mohd Zaini

DUA ahli kongsi gelap 08 diburu polis selepas terbabit dalam rusuhan bersenjata berhampiran sebuah kuil di Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor, 4 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kedua-dua suspek dikehendaki adalah V Willbert, 41, dan S Sureshkumar, 39.

Menurutnya, kedua-dua mereka beralamat di Batang Berjuntai, Kuala Selangor dipercayai terbabit dalam rusuhan pada malam berkenaan.

“Dua suspek ini dipercayai melepaskan dua tembakan ketika rusuhan berlaku dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Huzir berkata, siasatan polis mendapati perarakan Chariot (pedati berhias) bermula dari sebuah kuil di daerah itu menuju ke Rawang dan berhenti di Sungai Darah sebelum berlakunya rusuhan.

“Rusuhan berlaku membabitkan 15 ahli Geng 21 yang menguasai sekitar Sungai Darah dan 15 ahli Geng 08 dan 36 dari luar daerah berkenaan.

“Tiga anggota polis bertugas di kawasan itu diserang menggunakan parang menyebabkan salah seorang mereka berusia 34 tahun dari Balai Polis Bestari Jaya menerima tujuh jahitan susulan cedera di belakang tapak tangan kiri,” katanya.

Katanya, sebelum rusuhan, polis berpangkat koperal diugut dan diberikan amaran salah satu geng kongsi gelap supaya berhati-hati kerana kehadirannya dipercayai mendatangkan masalah.

“Susulan kejadian itu, seramai 33 individu berusia 18 hingga 54 tahun ditahan dengan tujuh daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Punca kejadian akibat tapak khemah yang didirikan bertentangan antara satu sama lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 akta sama kerana mengakibatkan kecederaan parah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan anggota polis dan seorang lagi orang awam cedera dengan sebahagian tapak tangan kirinya putus dalam kejadian rusuhan kira-kira jam 9.15 malam itu.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 6:33pm
d