mutakhir

5 sekeluarga terperangkap dalam khemah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LIMA sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak terperangkap dalam khemah akibat arus deras di Pusat Rekreasi Sungai Tekala, Semenyih, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.37 petang.

“Seramai lapan anggota termasuk Pasukan Bomba Bantuan (PBB) bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati lima mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan kerja mencari dan menyelamat di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu lain di kawasan berkenaan.

“Semua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 8:15pm
d