mutakhir

Jalan jadi 'sungai,' kereta hanyut [METROTV]

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

BEBERAPA kereta dihanyutkan air akibat banjir kilat di laluan utama Persiaran Kewajipan, Subang Jaya termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Hujan lebat sejak 3 petang itu mengakibatkan laluan berkenaan dinaiki air pada paras tiga hingga 3.5 meter.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kuantiti hujan yang banyak tidak dapat ditampung sistem perparitan di tempat kejadian.

“Hujan lebat selama sejam menyebabkan beberapa buah kereta dihanyutkan air.

“Bagi mengurangkan kesesakan, anggota Trafik IPD Subang Jaya turun bagi mengawal lalu lintas dengan kekuatan empat orang anggota.

Kawalan turut diberi oleh dua unit kereta peronda polis (MPV),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keadaan lalu lintas sudah kembali pulih dan lancar sebaik hujan berhenti selepas satu jam.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Orang ramai sudah boleh melalui jalan yang terbabit kerana air sudah surut sepenuhnya.

“Hanya beberapa buah kenderaan yang rosak masih tersadai dan pemilik sedang berusaha memanggil mekanik masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 8:54pm
d