mutakhir

3 syarat untuk Lynas

Oleh Faliq Lajim

LEMBAGA Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengenakan tiga syarat kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) selepas membaharui lesen operasi kilang itu selama enam bulan.

LPTA dalam kenyataan berkata, syarat itu diputuskan selepas Kerajaan Persekutuan Australia dan Kerajaan Negeri Western Australia memaklumkan kepada Malaysia bahawa pihaknya tidak akan menerima penghantaran balik residu radioaktif Water Leach Purification (WLP) Lynas.

Menurutnya, syarat itu juga berdasarkan syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November tahun lalu.

“Antara syaratnya adalah Lynas perlu mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan ‘cracking and leaching’ (pemecahan dan larut-resap) di luar negara bagi tujuan memindahkan proses terbabit yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng Kuantan, keluar dari Malaysia.

“Kemudahan itu hendaklah dibina di luar negara dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

“Selepas kemudahan itu mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi satu becquerel per gram di lojinya di Gebeng, Kuantan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, LPTA turut meminta LYNAS supaya mengenal pasti tapak spesifik bagi pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

“Lynas juga perlu mengemukakan kebenaran secara bertulis daripada Kerajaan Negeri bagi penggunaan tapak itu sebagai PDF.

“Pemegang lesen juga hendaklah mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan yang mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasi PDF atau mengemukakan kebenaran rasmi secara bertulis daripada pihak berkuasa mana-mana negara untuk membawa keluar residu WLP ke negara terbabit,” katanya.

Selain itu, LPTA turut meminta Lynas untuk menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai CondiSoil dalam bidang pertanian.

“Lynas juga hendaklah mengemukakan 0.5 peratus daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha R&D sebelum ini kepada Kerajaan Malaysia sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan pemecahan dan larut-resap di luar negara mula beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, LPTA berkata, pembinaan PDF perlu disegerakan untuk mengurangkan risiko timbunan residu radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan penstoran sementara (RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar.

Katanya lagi, pihaknya akan terus memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF mengikut piawaian antarabangsa.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 11:21pm
d