mutakhir

Wajar guna khidmat penunjuk arah

Oleh Siti Rohana Idris

KHIDMAT malim gunung atau pemandu arah wajar digunakan bagi aktiviti meneroka hutan dan mendaki gunung bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, pilihan sama ada mahu menggunakan khidmat tenaga pakar itu atau tidak terpulang kepada pendaki dan kementeriannya tidak mewajibkan perkara berkenaan.

“Bukan masalah mewajibkan atau tidak kerana khidmat itu (malim gunung dan penunjuk arah) memang ada cuma terpulang kepada individu untuk menggunakan khidmat mereka.

“Sebagai contoh di Gunung Kinabalu, Sabah yang menyediakan malim gunung dan khidmat mereka sememangnya diperlukan untuk membawa pendaki ke puncak.

“Begitu juga lokasi pendakian lain dan hutan lipur yang mana khidmat penunjuk arah disediakan tapi terpulang kepada individu itu (pendaki) untuk menggunakan khidmat berkenaan..mungkin mereka fikirkan tidak perlu, tapi hakikatnya penting untuk keselamatan,” katanya selepas Majlis Perasmian Festival Citrawarna Siam Malaysia Negeri Kelantan di Wat Machimmaram, Tumpat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kementerian bercadang mewajibkan khidmat pakar bukit dan hutan ditempatkan di lokasi rekreasi yang diperlukan bagi mengelakkan insiden berlaku seperti tragedi menimpa remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Terdahulu, sempena majlis Citrawarna Siam yang baharu dilancarkan, Mohammadin berkata, kehadirannya adalah kali kedua dan menyifatkan festival itu sangat indah dan kaya dengan seni budaya masyarakat Siam.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd Aidil Afizie Daud; Gabenor Narathiwat, Thailand, Ekkrat Leesen dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Roslan Wan Hamat.

Beliau berkata, tarian dipersembahkan adalah bertepatan dengan festival yang menggambarkan imej etnik minoriti di negara ini yang hidup harmoni dalam masyarakat majmuk.

“Saya juga akan memastikan supaya seni dan budaya masyarakat Siam seperti seni persembahan Menora dan tarian etnik dipertahankan demi kelangsungan identiti masyarakat Siam di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 12:18am
d