mutakhir

Resah bakal ibu

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KOTA TINGGI: Seorang ibu muda kini hamil tiga bulan merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyegerakan proses permohonan kad pengenalannya.

Putri Ramona Jamaluddin, 19, memberitahu dia berusaha untuk mendapatkan kad pengenalan sejak berusia 12 tahun lagi namun proses itu terbantut berikutan masalah pendaftaran lewat kelahiran di peringkat awal.

“Sekarang saya bekerja di kedai makan kerana bidang ini tidak memerlukan sebarang dokumen pengenalan diri atau akaun bank.

“Saya perlu memohon kad pengenalan menggunakan Borang B bagi pendaftaran permohonan kewarganegaraan yang sudah pun saya lakukan dua kali namun sampai sekarang hasilnya agak menghampakan.

“Berikutan tiada kad pengenalan saya berdepan kesukaran sejak dari bangku sekolah dan hanya bergantung kepada surat beranak termasuk ketika mahu berkahwin,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Saujana, di sini, semalam.

Dia memberitahu, permohonan Borang B kali pertama dibuat pada 2013 dan pada 2015 dia menerima jawapan permohonan itu gagal.

Susulan itu dia membuat permohonan baru pada tahun sama dan mendakwa hingga kini belum menerima maklum balas daripada JPN.

Menurutnya, ketiadaan kad pengenalan menyukarkannya untuk bekerja dan melakukan urusan memerlukan rujukan dokumen seperti membuka akaun bank.

“Lebih merisaukan, saya yang kini mengandung dan sudah pasti berdepan kesukaran untuk melahirkan anak sekiranya tiada kad pengenalan.

“Jadi saya amat berharap pihak JPN menyegerakan proses permohonan yang sudah lama bertangguh, paling tidak sekurang-kurangnya beri jawapan untuk permohonan kedua,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 5:40am
d