mutakhir

Pengawal melecur dibaling molotov cocktail

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENGAWAL keselamatan warga Nepal melecur selepas pondok pengawal di sebuah kondominium di Taman Danau Kota, Kuala Lumpur dibaling satu botol berisi minyak dipercayai molotov cocktail pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.41 pagi.

“Seramai lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak kemudiannya dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah pondok pengawal keselamatan dipercayai kerana perbuatan khianat.

“Tindakan khianat itu dilakukan dengan membaling botol berisi minyak ke arah pondok pengawal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengawal keselamatan kondominium berkenaan melecur 10 peratus di tangan dan belakang badan.

“Mangsa diberikan rawatan oleh pihak paramedik dan kes kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 8:35am
d