mutakhir

Hantar bunga, coklat sebelum culik

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BERPURA-pura tersalah hantar hadiah bunga dan coklat. Itu taktik tiga lelaki yang ‘menculik’ dan menyamun wanita warga China sebelum mengurungnya di sebuah rumah di Bangi, menyebabkan kerugian dianggarkan RM11,000, 11 Ogos lalu.

Bagaimanapun mangsa berusia 30 tahun yang datang ke negara ini untuk mengambil kursus Bahasa Inggeris selama enam bulan berjaya melarikan diri ketika suspek dalam keadaan khayal dadah sebelum meminta bantuan penduduk yang kemudian menghubungi polis.

Dia dihantar pulang sebelum tampil membuat laporan polis bersama rakan lelakinya dikenali Henry, 30, Isnin lalu untuk tindakan selanjutnya.

Menceritakan semula kejadian itu, Henry berkata, rakannya itu pada mulanya menerima satu kotak berisi bunga dan coklat pada 8 Ogos lalu.

Menurutnya, rakannya itu kemudian dihubungi lelaki dikenalinya jam 4 petang, 11 Ogos lalu, mendakwa tersilap menghantar hadiah itu yang sepatutnya diserah kepada orang lain.

“Rakan saya mengenali lelaki itu sejak setahun lalu sebelum datang ke negara ini lagi melalui aplikasi Wechat namun tidak pernah bertemu.

“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa kemudian turun dari apartmennya di Jalan Ampang untuk memulangkan hadiah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Henry berkata, sebaik bertemu, tiba-tiba datang dua lelaki lain berparang dan terus menolak rakannya masuk ke dalam kereta.

“Rakan saya beritahu tangan dan matanya diikat sebelum dibawa lari ke satu lokasi tidak diketahui selain telefon bimbit, wang tunai, jam tangan dan dokumen peribadi dirampas.

“Malah dia dikurung di dalam sebuah rumah dan hanya dapat melarikan diri selepas melihat ketiga-tiga lelaki terbabit dalam keadaan berkhayal dadah,” katanya.

Katanya, rakannya itu berlari kira-kira 10 minit di kawasan perumahan itu sebelum meminta bantuan penduduk selepas melihat satu rumah lampu masih bernyala kira-kira jam 12 tengah malam.

“Penduduk terbabit kemudian menghubungi polis dan ketika itulah baru dia menyedari dibawa lari hingga ke Bangi.

“Saya yang mengetahui kejadian itu selepas dihubunginya kemudian membawanya membuat laporan polis Isnin lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 3:29pm
d